Alfea memandang kosong telefon bimbit di tangan. Hatinya berbelah bagi. Nak mesej ke tak nak?
Macam mana aku nak bagitau dia ni? Kalau aku terus terang dia boleh terima ke? Macam mana agaknya respon dia?
Eh kejap..
Perlu ke aku bagitau dia? Aku dengan dia bukannya ada apa-apa pun kan? Dia tak pernah kata pun dia suka aku ke apa. Entah-entah dia tak kisah pun apa jadi dengan aku.
"Fea.."
Antara Aiman dengan Annuar. Salah satunya adalah khayalan. Dan yang lagi satu adalah realiti. Walau hatinya tanpa ragu lagi memang ada pada Aiman, tapi dia sendiri tak pernah pasti perasaan lelaki itu terhadapnya. Layanan lelaki itu terhadapnya terlalu sukar untuk dibaca. Kadang-kadang dia macam teman biasa, kadang-kadang terlebih ambil berat macam lebih daripada kekasih, kadang-kadang pula macam langsung tak peduli!
Annuar pula memang sah ada hati kat aku. Cuma tak pernah diluahkan. Eh, ye ke tak pernah luah? Dia siap suruh mak dia datang meminang terus, kira luah la tu kan?
Tapi.. aku sayangkan Aiman...
Fea.. kau pernah dengar tak, orang kata, lebih baik kita terima je orang yang memang terang-terang sayangkan kita. Daripada kita terkejar-kejar orang yang kita sayang, tapi tak tau macam mana perasaan dia.
Tanpa sedar dia mengangguk perlahan.
"Fea, dah siap ke?"
Suara mak mengembalikan dia ke dunia realiti. Entah bila mak masuk pun dia tak sedar. Wajah mak yang dah duduk di atas katil di sebelahnya dipandang sejenak. Segaris senyuman penuh kasih terukir di situ. Handset di tangan direnung lagi seketika. Perlahan-lahan handset diletak di atas meja solek bersama sebuah keluhan perlahan tetapi jelas.
"Fea okey ke ni sayang?" Tangan mak terasa lembut membelai kepalanya. Perlahan dia cuba senyum sambil mengangguk. Selendang di kepala dirapikan buat kali terakhir sebelum berdiri.
"Fea okey mak. Jom,"
Langkah diatur menuju ke ruang tamu di mana keluarga Annuar sedang menanti. Hari ini dia akan bertunang secara rasmi dengan lelaki itu. Setelah peristiwa di pejabat Annuar tempoh hari, dia benar-benar berfikir panjang akan keputusan yang mahu diambil. Sempat juga dia merisik tentang hubungan Annuar dengan Aziemah. Mereka sendiri mengakui bahawa hubungan yang pernah terjalin suatu masa dulu cuma sekadar cinta monyet. Akhirnya dia menyuarakan persetujuan untuk bertunang secara rasmi dengan Annuar dalam sebuah majlis yang ringkas.
Tak ramai tetamu yang hadir hari itu. Cuma beberapa ahli keluarga serta kenalan terdekat mak, abah dan ibu bapa Annuar sahaja.
Sepanjang majlis pertunangan berlangsung, Alfea cuma diam. Fikirannya masih lagi keliru sebenarnya. Betul ke apa yang aku buat ni? Takpe ke aku rahsiakan hal ni dari Aiman? Betul ke keputusan aku ni? Namun dia akur bila Aunty Lynn menyarungkan cincin pertunangan di jarinya. Matanya sempat mencari kelibat Annuar di luar rumah. Kelihatan senyuman bahagia terukir di bibir lelaki itu. Perlahan bibirnya mengukir senyum. Dia yakin, Annuar mampu buat dia bahagia.
No comments:
Post a Comment