Kadang-kadang bila aku fikirkan, terasa macam segalanya cuma kepura-puraan. Jika dilihat dan direnung dengan teliti dari semua sudut, memang jelas, semuanya penuh kepura-puraan. Sejak dari awal lagi, masing-masing berpura-pura demi menyembunyikan muslihat yang tersimpan.
Kalau diingatkan semula, segalanya pun memang bermula dengan penipuan dan rahsia. Bermula dengan dia yang menyembunyikan kenyataan daripada aku. Dan setelah itu kami pula menyembunyikan kenyataan daripada 'dia'. Malah hingga ke hari ini, saat ini, detik ini, masih ada rahsia yang tak berani diluahkan dengan jujur. Masih ada kenyataan yang disembunyikan di sebalik penipuan.
Dan segala rahsia yang ada kadangkala membuatkan aku rasa tak selesa. Walaupun aku dah luahkan rahsia yang aku simpan, tapi itu tak sampai separuh daripada kenyataan. Selagi dia masih tak luahkan rahsia yang dia simpan, mungkin selama itulah aku takkan rasa tenang.
Ada kalanya aku terfikir, mungkin segala kesulitan dan kesukaran yang dialami adalah disebabkan penipuan yang dilakukan. Sebab segalanya bermula dengan penipuan yang seterusnya cuba disembunyikan dengan pelbagai penipuan lain, jadi keberkatannya jadi hilang. Segalanya jadi semakin rumit dan berbelit. Jalan keluar semakin buntu. Minda pun makin beku, blur. Hati yang keras pun semakin bertambah keras.
Sebab apa? Sebab tak ada keberkatan. Sebab Allah tak redha. Mana mungkin Allah akan redha dengan manusia yang menipu, dan mana mungkin Allah akan bantu manusia yang menipu. Apalagi orang yang menipu sebuah hubungan yang suci.
Alasan yang diberi, takut dan bimbang akan akibat jika berlaku jujur. Bimbang kejujuran akan melukakan sekeping hati. Takut akan kehilangan segala yang dimiliki sekiranya kejujuran diutamakan.
Padahal hakikatnya, jujur itulah kunci segala kebahagiaan. Kejujuran itulah pintu kemaafan. Kejujuran itulah yang akan membuka pintu yang selama ini tertutup. Menyuburkan benih-benih kepercayaan. Melembutkan hati yang selama ini keras.
Kesakitan? Kelukaan? Mungkin akan terasa pada mulanya, tapi lambat-laun pasti akan terubat dengan berkat keberanian dan kejujuran yang ditunjukkan.
Hakikatnya, hanya kejujuran yang mampu menyelesaikan segala masalah, yang mampu merungkaikan segala kerunsingan yang dihadapi.
Kadang-kadang aku rasa geram, marah, benci dengan sifat penakut dan pengecut dia. Berlagak je kononnya bertubuh sasa dan tegap, tapi pengecut, langsung tak gentleman. Nak berlaku jujur pun tak berani, tapi ada hati nak bermimpi ke langit. Kalau sekarang pun dah tak mampu nak berlaku adil, macamana pula nantinya? Agaknya dia tahu kah apa maksud adil yang sebenarnya? Adil bukan hanya bermaksud berbahagi sama rata, tapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bersikap jujur pun salah satu komponen keadilan, tahu?
Sebab itulah, aku selalu keliru dan celaru. Aku tak tahu sejauh mana dia serius. Aku cuma mampu berharap dia betul-betul maksudkan apa yang dia ucapkan.
Seriously, aku dah terlalu letih bermain permainan kepura-puraan ni. Sebab tu aku nekad berhenti dua tahun lepas. Aku beranikan diri untuk jujur, dan cuba bina hubungan baru yang berlandaskan kejujuran. Tapi malangnya masih ada sisa kepura-puraan yang tersembunyi, yang menghalang keikhlasan. Sebab cuma aku yang mencuba, sedangkan dia tak buat apa-apa. Akibatnya, aku gagal.
Sekarang aku faham, selagi masih ada kepura-puraan, penipuan, dan ketidakjujuran, walau hanya di satu pihak, selama itulah takkan ada keikhlasan, dan selama itu juga takkan ada kebahagiaan. Jadi sekarang aku ingin cuba buang semua kepura-puraan dan gantikan dengan ketulusan.
Lagipun kalau cuma aku seorang yang serius, kalau cuma aku yang ingin keluar dari dunia penipuan yang penuh kepura-puraan, sedangkan dia langsung tak peduli, tak ada gunanya untuk aku terus pertahankan. Lebih baik lupakan saja.
Apapun, segalanya terpulang pada dia. Kalau benar dia serius dan ikhlas, dia perlu berubah, jadi seorang yang lebih berani, lebih jujur. Dia perlu tinggalkan sikap enggan berterus-terang, sifat penakut, sifat pengecut. Dia perlu mula semula dari awal, bina hubungan baru, bermula dengan kejujuran dan keikhlasan.
Tapi kalau dia masih ingin kekal dalam kepura-puraan, biarlah dia kekal begitu di situ. Tapi aku tak mahu lagi jadi rakan subahat dalam sesuatu yang sudah jelas nyata salahnya. Aku mahu keluar dari hubungan yang berlandaskan penipuan dan kepura-puraan itu.

No comments:
Post a Comment