ruang peribadi tempat meluah rasa, pendapat dan fikiran tentang apa saja. sama sekali bukan tempat yang boleh menjadi rujukan atau sumber maklumat yang boleh dipercayai.
HARAP MAKLUM.
.................................................
".....raihlah apa yg bermanfaat bagimu, minta tolonglah kepada Allah, dan jangan bersikap lemah....."

Saturday, November 28, 2015

Cerita: Aku

Assalamualaikum..

Ini hanyalah cerita yang ditulis berdasarkan sebuah kisah benar. Ditulis sebagai pengajaran dan peringatan bersama. Dan sajer nak test bakat mana tau kot-kot boleh jadi penulis. Heh heh.. Mohon maaf sekiranya ada yang tersinggung ataupun kecil hati dengan cerita ini.

p/s: Kalau boleh lepas baca komen tau. Nak tahu pendapat anda.


AKU

Perempuan murahan
Perempuan jalang
Perempuan perampas
Perempuan tak tahu malu
Perempuan tak ada maruah
Itu semua dah jadi nickname aku sejak beberapa tahun lepas

Bagaimana aku dapat nama tu?
Ia bermula apabila dia mula menegur aku. Aku, seperti yang ramai orang kenal, bukanlah jenis yang mudah melayan lelaki. Malah dalam seumur hidup aku sebelum mengenali dia, aku langsung tak pernah menegur mana-mana lelaki yang bukan keluarga sendiri.

Suatu hari, tanpa disangka dan tanpa dipinta, dia muncul dalam hidup aku secara tiba-tiba. Semenjak kemunculan dia, aku rasa sangat bahagia. Bersama dia, aku rasakan keindahan yang belum pernah aku rasa. Walaupun baru berkenalan, aku sangat selesa bersamanya. Jiwa aku terasa kosong bila dia tiada. Hatiku ingin dia selalu ada bersamaku setiap masa. Tak pernah sebelumnya aku rasakan perasaan yang seumpama itu. Aku mula sedar yang aku telah jatuh cinta.

Tapi aku bukanlah jenis yang terlalu mudah menerima sesiapa saja sebelum mendapat kepastian tentang niat mereka. Jadi aku uji dia dengan pelbagai ujian. Aku cuba juga singkirkan dia dengan pelbagai alasan. Jangan kau dekati aku kalau kau tiada niat yang ikhlas. Itu amaranku pada dia.

Tapi dia masih tetap di situ. Walau berjuta ujian, walau beribu alasan yang aku beri, dia tetap di situ.

Akhirnya aku yakin dengan keikhlasannya. Lalu aku terima dia sepenuh hati. Aku semakin bahagia bersamanya dan kami semakin akrab.

Tapi bahagia aku rupanya tak berpanjangan. Suatu hari aku dapat tahu kenyataan tentang dia. Aku amat terkejut, tapi kenyataan itu aku terima dengan hati yang terbuka. Aku masih sudi menjadi sahabat, dengan syarat aku diperkenalkan dengan suri hidupnya.

Tapi dia ambil masa yang terlalu lama untuk tunaikan permintaan aku. Dalam masa yang sama, dia beri aku semakin banyak harapan. Dia taburkan pelbagai janji pada aku. Puas aku tepis, aku tolak, aku ingatkan dia tentang kenyataan, tapi dia tetap berdegil.

Akhirnya, buat kali kedua, aku kalah lagi. Kali ini, aku kalah lebih teruk. Aku jatuh tersungkur tanpa mampu berdiri semula.

Selalu aku berfikir, salah akukah semua ini terjadi? Salah akukah jatuh cinta pada dia? Salah akukah tak mampu melupakan dia? Salah akukah kalau dia yang selalu berdegil?

Kalau bukan aku yang bersalah, habis kenapa hanya aku yang dihukum? Kenapa hanya aku yang dihina? Kenapa hanya aku yang dicerca? Kenapa dia boleh kekal bahagia seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku?

Pernah aku cuba melupakan dia, tapi segala kenangan yang pernah tercipta senantiasa bermain di minda. Aku cuba melepaskan dia, tapi janji yang pernah terucap tak pernah mahu lenyap.

Hari ini, aku ingin menagih janjinya. Tapi aku dihina, dicerca, dan dibuang seumpama sampah. Dia pula hanya tertawa melihat aku diperlakukan sebegitu. Maruah aku dicalar, dipijak, dan dimusnahkan oleh insan yang paling aku percaya.

Kini, tiada siapa yang sudi mahu memandang aku. Setiap insan di luar sana, sama ada lelaki mahupun wanita, memandang hina pada aku. Malah dia sendiri menganggap aku seumpama najis.

Aku sedar, aku kini telah kehilangan segala-galanya. Dan aku tahu, inilah akibat yang terpaksa aku tanggung atas perbuatan aku sendiri.

Sekian.
 

No comments: