ruang peribadi tempat meluah rasa, pendapat dan fikiran tentang apa saja. sama sekali bukan tempat yang boleh menjadi rujukan atau sumber maklumat yang boleh dipercayai.
HARAP MAKLUM.
.................................................
".....raihlah apa yg bermanfaat bagimu, minta tolonglah kepada Allah, dan jangan bersikap lemah....."

Thursday, March 3, 2016

Kata mak

Kata mak, anak perempuan kalau lepas kahwin kena ikut cakap suami. Kena utamakan suami lebih daripada mak bapak. Kalau suami kata tak payah balik rumah mak, tak payah balik. Kalau suami minta temankan dia, temankan. Walau rumah suami dengan rumah mak cuma bersebelahan pun, kalau suami tak bagi izin, tak boleh balik. Terutama kalau nak bermalam.

Kata mak, mak pun kena faham apa keutamaan seorang perempuan bila dia dah kahwin. Sepatutnya mak lebih faham sebab mak pun pernah jadi anak. Mak tak boleh asyik minta anak balik kampung, atau kecil hati bila menantu tak bagi anak dia balik. Dan mak sepatutnya tak boleh buat seolah-olah menantu lelaki dia ada tanggungjawab atau kewajipan besar terhadap dia. Kecuali kalau menantu tu anak yatim piatu atau sebatang kara.

Kata mak lagi, suami pun kena faham perasaan isteri. Jangan pula simpan isteri di rumah, langsung tak bagi isteri balik rumah mak dia. Kalau isteri bekerja pulak, jangan mengharapkan duit gaji isteri untuk tampung semua keperluan rumahtangga. Walaupun gaji isteri jauh lebih besar daripada gaji suami. Sebab isteri tak ada kewajipan untuk bagi duit dan sara rumahtangga. Membantu suami itu suatu pilihan yang dibuat atas rasa kasih sayang, bukan kewajipan. Jadi suami tak boleh paksa isteri bagi duit gaji dia atau minta duit isteri untuk keperluan keluarga. Yang lebih utama bagi isteri, kalau dia bekerja dan ada pendapatan, ialah bagi duit untuk mak bapak dia di kampung.

Tapi kata mak, isteri kalau bekerja dan ada pendapatan, walaupun kerja dia lebih bagus dan gaji dia lebih besar daripada gaji suami, dia tetap kena taat pada suami. Tetap kena patuh pada suami. Selagi kepimpinan suami tak bercanggah dengan agama.
----------------------

Mendengarkan kata-kata mak, aku rasa kalau tak kahwin pun bagus jugak kot. Tak perlu susah-payah fikir dan rasa berbelah bagi nak pilih antara mak dan suami. Tak perlu jadi macam 'diluah mati mak ditelan mati suami.' Kalau dapat suami yang baik dan betul-betul faham semua kewajipan dan tanggungjawab dalam rumahtangga dan keluarga syukur juga. Tapi kalau dapat suami yang pentingkan diri? Nau'zubillah.

Mendengarkan kata-kata mak lagi, aku rasa memang bagus aku tak kahwin lagi. Sekurang-kurangnya semua masa, harta dan tenaga yang aku ada boleh digunakan seratus-peratus untuk mak bapak.

Dan mendengarkan kata-kata mak juga, aku rasa mungkin aku hanya akan kahwin kalau dah tak ada semua kewajipan tu. Baru boleh fokus seratus-peratus pada kewajipan terhadap suami dan rumahtangga.

Lagipun, satu-satunya orang yang pernah buat aku rasa sanggup bahagikan segala tumpuan, harta, dan masa pada dia, macam dah tak sanggup nak bahagikan fokus antara aku dan keluarga dia. Aku cuma minta sedikit masa pun, dia tak sanggup berbahagi lagi. Sekarang, semua masa dia hanya untuk keluarga dia.

Tapi biarlah, itu hak dia. Dia tak ada sebarang tanggungjawab atau kewajipan pun pada aku. Dan macam yang aku tulis tadi, segalanya atas pilihan sendiri. Jadi aku pun tak menyesal atas pilihan aku dulu.

Sekarang aku cuma nak fokus balik pada perkara yang sepatutnya aku fokus. Hingga masa atau takdir menentukan.

No comments: