"Bila dah terima gaji, bagaimana cara nak rasa duit gaji tu sentiasa cukup je walaupun sedikit?"
Pesan Ustaz Mohd Nassru Abdul Latif:
1. Bila hari terima gaji, jangan dilupa ibu dan ayah. Perkara pertama buat, transfer utk mereka dahulu. Banyak atau sedikit, itu tidak penting. Walau mereka berdua mungkin sudah berpendapatan, tetapi berikan kepada mereka sebagai hadiah. Percayalah, duit gaji kita akan cukup!
(Gaji setiap bulan memang semua untuk parents. Cuma ambil secukupnya untuk keperluan sendiri. Ramai orang tak percaya bila aku selalu kata tak ada duit. Kata mereka, dah bertahun kerja, takkan tak ada duit. Mana nak ada duit, semua dah bagi parents. Korang apa tau?? Dapat gaji terus habis sana sini, langsung tak ingat orang tua!)
2. Jangan dilupa "Tabung Haji", memotong melalui potongan gaji lebih baik. Anda tahu, bila kita sudah mendaftar haji, ia bermakna "Nawaitu" itu telah ada!
(Sampai sekarang niat nak mendaftar masih tinggal niat.)
3. Sebagai seorang ayah, ingat kembali urusan anak. Aqiqahkan mereka dahulu, sebelum anda membeli TV LED baru, sebelum menukar sport rim baru, sebelum berfikir untuk beristeri baru!
(Perhatian untuk bakal suami. Kenalpasti mana satu yang sangat penting, kurang penting, dan tidak penting!)
4. Sebagai seorang isteri yang bekerja, bantulah suami! Tidak salah jika isteri berkata "Duit I, Duit I, Duit suami, Duit I!" Tapi, redha itu lebih penting. Suami pula jangan ambik kesempatan atas kebaikan isteri!
(Suami suka ambil kesempatan bila ada isteri yang berkerjaya. Lebih baik isteri guna duit bantu ibu bapa di kampung!)
5. Sebagai isteri yang tidak bekerja, redha dengan apa yang ada. Jangan merungut! Tiada suami yang mahukan kekurangan dalam keluarga.
(InsyaAllah. Setakat ni apa yang diterima tak pernah dirasakan tak cukup walaupun tak seberapa. Kurang harta tak apa, jangan kurang iman dan didikan.)
6. Lihat ahli keluarga yang terdekat, siapa yang perlu dibantu dahulu sebelum bersedekah atau nak bantu orang susah, anak yatim. Rezeki kita akan sentiasa cukup jika mendahulukan orang yang dekat! Kerana sabit dalam hadis Rasul saw.
(Patutlah selalu kena marah bila aku cuba tolong kawan-kawan yang susah. Tapi nak buat macam mana kalau kawan kita sendiri tak nak faham situasi kita? Kalau tak ditolong, katanya kita pentingkan diri dan kejam. Padahal hakikatnya keluarga sendiri lebih memerlukan bantuan berbanding mereka.)
7.Jangan kedekut tetapi jangan pula terlalu boros! Memberi makan merupakan sedekah yang sangat mudah. Sekali sekala, apa salahnya belanja kawan-kawan & saudara-mara...
(Selalu belanja keluarga saja sebab tak ada kawan untuk dibelanja.)
****************************
Jenaka Ustaz Azhar
Kadang-kadang Allah hantar seekor kucing untuk menjadi guru dan menguji kita supaya kita muhasabah. Jika seekor kucing datang meminta makanan, tapi kita halau dia, itu tanda kita kedekut dengan rezki yang Allah beri pada kita. Padahal kucing tu minta sedikit sahaja dari sisa makanan kita. Kita ada duit beribu-ribu, apa ruginya beli sebungkus nasi beri pada kucing. Kadang-kadang kucing bawa lari seekor ikan kembong yang kita beli di pasar. Anggaplah itu rezeki untuk kucing tu. Tak payahlah kejar kucing tu keliling kampung! Dia bukan ambil semua, seekor saja. Lainlah kalau kucing tu bawa lari peti sejuk, boleh la kejar sebab mahal. Kita cita-cita nak syurga firdaus, tapi kita kedekut pahit. Muhasabahlah diri kita. Jika nak jadi cepat kaya, murah rezeki, panjang umur, dan terang dalam kubur nanti, selalulah kita beri makan pada binatang. Setiap makanan kita beri makan binatang itu dikira sedekah. (Ustaz Azhar Idrus)
Kesimpulannya, mesej tu tadi sebenarnya pasal duit, pasal rezeki.
Masalah duit dan rezeki ni selalu jadi masalah bagi kebanyakan orang hari ni. Ramai yang kata tak cukup duit la, tak cukup itu la, tak cukup ini la.. Mungkin sebab keadaan dunia akhir zaman ni yang menyebabkan semua orang rasa tak cukup.
Tapi mungkin jugak ketidakcukupan tu sebenarnya berpunca dari sikap kita sendiri, yang membawa kepada kurangnya keberkatan pada rezeki kita, dan akhirnya membuatkan kita selalu rasa tak cukup di sana sini. Menyebabkan kita rasa serba kekurangan, serba kesusahan, serba kesempitan.
Abah aku selalu kata, banyak atau sikit duit pendapatan kita tu tak penting, tapi yang paling penting ialah keberkatan yang ada dalam rezeki tu. Kalau rezeki tu berkat, walau gaji RM200 sebulan pun insyaAllah akan terasa cukup. Tu kata abah aku la, tapi dalam dunia hari ni mungkin RM200 sebulan memang tak cukup, terutama kalau orang tu dah berkeluarga.
Tapi tu bukan point aku. Point aku di sini ialah, pentingnya mencari keberkatan dalam rezeki.
Abah kata, salah satu sumber keberkatan rezeki ialah solat. Walau sesibuk mana pun kita, bila masuk waktu solat, kena cepat-cepat tunaikan. Tak kisahlah kerja apa pun, dekat mana sekalipun. Kalau perlu, bawak baju spare bila pergi kerja supaya boleh tukar masa nak solat. Yang ni memang aku selalu nampak abah buat.
Abah sendiri pun dulu kerja tak seberapa, gaji pun tak pernah sampai seribu. Setakat yang aku tau, paling banyak beliau dapat pun RM500 sebulan. Tapi Alhamdulillah, kami sekeluarga tak pernah rasa tak cukup. Walaupun tak ada kerja tetap dan hidup sederhana, beliau berjaya besarkan kami 8 beradik sampai semua berjaya. Mungkin itu yang dinamakan keberkatan.
Banyak lagi sebenarnya sumber keberkatan dalam rezeki. Tapi semuanya tersembunyi dalam setiap perkara yang kita lakukan seharian, hingga kadang-kadang kita tak sedar apa yang kita buat tu boleh mengurangkan keberkatan dalam rezeki kita. Sebab tu pentingnya muhasabah diri dalam hidup kita.
Jadi sama-samalah kita muhasabah. Kalau rasa macam tak cukup je, fikir balik. Apa yang kita buat selama ni yang mungkin membawa kepada ketidakcukupan tu. Dan macam mana agaknya kita boleh betulkan keadaan tu semula. Wallahu a'lam.

No comments:
Post a Comment