Pertama kali dengar ini, hati tiba-tiba rasa sayu. Walaupun secara teknikalnya aku sendiri tak pernah alami situasi seperti yang dimaksudkan, tapi perasaan seumpama ini memang pernah aku rasa.
Suara hati mereka ini buatkan aku terfikir. Apakah perempuan itu sebenarnya memang terlalu bodoh? Sehingga begitu mudah dipermain-mainkan dan diperbodoh-bodohkan oleh lelaki?
Mungkin bodohnya perempuan itu sebenarnya kerana terlalu mudah percaya. Atau terlalu cepat merasa suka. Atau terlalu besar menyulam cinta. Makanya lelaki dengan mudah mengambil kesempatan.
Makanya juga, aku sendiri tak pernah mahu percaya pada yang namanya lelaki dan cinta.
Tapi di mana entah silapnya, aku tiba-tiba ikut jadi bodoh bila mengenali 'dia'. Mungkin kerana dulunya dia seorang kasanova hebat, maka helahnya mampu buat aku ikut terjerat. Mungkin juga aku sendiri sebenarnya memang tak cukup kuat untuk berdepan dengan seorang bekas kasanova.
Apa pun, pengalaman sekali itu sudah cukup untuk aku belajar banyak perkara. Tentang lelaki. Tentang cinta. Juga tentang hidup.
Dari pengalaman yang satu itu, aku belajar untuk jadi lebih kuat. Dan kerana pengalaman yang satu itu juga, aku kini lebih memilih untuk hidup sendiri.
Kepada 'kamu'. Kalau kamu baca ini, terima kasih atas pengalaman itu. Pengalaman bersama kamu tetap adalah yang paling indah, walaupun semuanya mungkin cuma mimpi.

No comments:
Post a Comment