Aku pernah dengar orang kata, biasanya seseorang yang pendiam lebih berpotensi untuk jadi seseorang yang paling pendendam. Dan apabila seseorang yang pendiam berdendam, tak siapa boleh meneka apa yang bakal dilakukan.
Selama ni aku tak percaya itu benar. Sebab aku sendiri pun memang pendiam, tapi aku bukan pendendam.
Tapi bila difikirkan mungkin ada betulnya. Seorang yang pendiam biasanya jarang meluahkan apa yang mereka rasa. Mereka lebih banyak memendam daripada meluahkan, jadi bila beban yang dipendam jadi terlalu berat untuk ditanggung, kadang-kadang mereka lebih cenderung melakukan sesuatu yang tak dijangka oleh sesiapa.
Bagi aku sendiri, sepanjang hidup aku memang dikenali sebagai seorang yang tenang, penyabar, tak mudah marah atau melenting, dan tak pernah ambil peduli tentang apa orang kata.
Tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ni aku rasa sikap aku mula berubah sikit-sikit. Aku berubah jadi seorang yang sensitif, cepat terasa dan mudah marah. Perasaan dendam juga mula wujud dalam diri aku. Dan mereka yang menjadi mangsa keadaan biasanya tentulah mereka yang rapat di sekeliling aku.
Pendek kata aku bukan lagi 'gadis capricorn' yang 'innocent' macam dulu.
Perubahan sikap aku mungkin sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pengalaman hidup yang aku lalui selama beberapa tahun ni. Tapi perubahan sebegitu sama sekali bukan sesuatu yang aku inginkan dalam diri aku. Perasaan benci dan dendam cuma akan buatkan aku rasa rimas dan gelisah. Aku tahu semua tu.
Dan aku juga tahu, satu-satunya cara untuk aku kembali jadi diri aku yang dulu adalah dengan memaafkan individu-individu yang berkenaan. Tapi aku pun tak tahu kenapa susah sangat untuk aku cuba memaafkan mereka. Mungkin kerana sikap aku yang terlalu ego atau memang sengaja buat-buat keras hati.
Ya Allah.. aku mohon kekuatan dariMu. Lembutkanlah hatiku untuk memaafkan dia dan melupakan segala kesilapan yang telah dia lakukan, kerana dia juga manusia seperti aku. Amiin.
No comments:
Post a Comment